Wednesday 7 June 2017

Pengembaraan ke Puncak Abadi Para Dewa (part 2)

untuk baca part 1 sila klik kat sini

Menghampiri jam 1 pagi, porter kami, Herman mengejutkan kami dari tidur. Hidangan Bakso dan teh serai sudah tersedia. Rasanya baru sahaja kami makan malam tadi. Sekarang kena makan lagi. Kata Herman bakso tersebut cukup untuk membekalkan tenaga untuk kami sampai ke puncak. Teh serai pulak dapat menghangatkan badan.

Sedang kami bersiap2 untuk memulakan pendakian, Syukor dan Aimi datang memberitahu kami yang mereka tidak akan naik ke puncak. Syukor aku tahu yang tapak tangan dia memang tercedera, manakala Aimi pula memberitahu yang dia mula terasa tidak sedap badan. Demam katanya. Kami semua mula terasa agak kecewa juga pada mulanya. Atoi dan Hafiz berkali2 memujuk Aimi untuk meneruskan pendakian ke puncak.

Arif selaku guide kami akan memimpin perjalanan pada pagi itu. Hernandez akan menemani Shukor dan Aimi di khemah. Manakala Herman, porter kami juga akan berada di khemah.

Sebelum memulakan perjalanan, Arif memberi taklimat ringkas. Insuran dan permit hanya sampai ke Kalimati, iaitu basecamp kami sekarang. Untuk mendaki ke puncak adalah tanggungjawab sendiri. Kami semua memang sudah maklum dari hari pertama pendakian. Berkali2 Arif mengingatkan supaya sentiasa peka dengan batu2 yang jatuh dari atas. Di hari pertama pun kami dikejutkan dengan pendaki yang terkena bongkahan batu yang jatuh.  Tapi  dah datang dari jauh mana boleh tak cuba naik ke puncak kan. Arif menerangkan yang perjalanan kami ke puncak mungkin mengambil masa sekitar 4-8 jam bergantung kepada fizikal dan mental masing2. Dari Kalimati kami akan memasuki hutan sepanjang 1.5km sebelum sampai ke Checkpoint Arcopodo. Dari Arcopodo untuk ke puncak pula sepanjang 1.2km. Cut Off Time bagi kami semua untuk sampai ke puncak pada jam 10pagi. Sesiapa yang tidak sampai ke puncak pada jam 10pagi di minta untuk turun ke basecamp. Ini kerana asap yang meletus selepas itu bahaya untuk kesihatan..

Selepas selesai taklimat ringkas, Atoi membaca doa semoga dipermudahkan perjalanan kami. Dalam kesejukan pagi kami melangkah. Arif memimpin perjalanan kami, di ikuti dengan Hafiz. Yang lain hanya mengikut dari belakang. Memasuki hutan track terus mendaki, walaupun tidaklah terlalu pacak di permulaan tapi dengan cuaca yang sejuk mengganggu jugak langkahan aku,

Dengan jelas kami dapat melihat sinaran cahaya dari headlamp pendaki2 di atas. Terasa mental jugak bila tengok cahaya dari headlamp tersebut. Makin lama Arif dan Hafiz sudah meninggalkan aku dan yang lain, Ketika itu aku bersama dengan Imran dan Abang Firhat, Yang lain2 di belakang. Pendaki2 lain mula memotong kami,

Selepas sejam lebih mendaki aku sampai di Arcopodo. Abang Firhat sudah tidak kelihatan, Aku tidak pasti sama ada Abang Firhat di depan atau di belakang aku. Tidak lama kemudian aku tiba di track berpasir. Dari blog2 yang aku baca, cabaran untuk menawan puncak bermula dari sini. Track berpasir sepanjang lebih 1km harus diharungi, Di permulaan track tersebut aku bersama pendaki2 lain di dalam satu barisan. Ini kerana track yang terlalu sempit. Di sini jugalah laluan yang diberikan nama Blank 75 atau lebih dikenali sebagai zon kematian ( dulu2 ada kes pendaki jatuh dari sini ) Tersilap langkah mungkin kami akan terjatuh ke bawah,

Permulaan track berpasir. Dalam gelap x nampak pun track ni terlalu sempit

Selepas melepasi Blank 75, track pacak sehinggalah ke puncak.Setiap langkah harus berhati2. 2-3 kali melangkah, aku menggelongsor ke belakang. Cuaca yang sejuk mengganggu langkahan aku, Dalam kegelapan tidak banyak yang boleh dilakukan. Melayani langkahan di track berpasir mula membuatkan mental aku terganggu. Berhenti rehat sudah tidak terkira. Pendaki2 lain pun sama. Yang berbaring di atas pasir pun ada. Semakin lama aku mendaki, hidung aku mula berair ( aku tak tahu kenapa, mungkin disebabkan oleh cuaca). Sungguh tak selesa aku dibuatnya. Facemask yang aku pakai seolah2 tidak berfungsi. Hanya dapat menghalang pasir dari masuk hidung sahaja.

Dalam kegelapan terus melangkah

Hampir 4 jam  aku mendaki dari basecamp, dari sebelah kiri aku sunrise sudah mula kelihatan. Kelihatan ramai pendaki yang mula berhenti dan cuba mengambil gambar. Begitu juga aku. Seperti di Rinjani aku tidak berkesempatan untuk melihat sunrise di puncak, di Semeru pun juga begitu. Sambil2 melayani sunrise, aku sempat juga makan snickers, buat menambahkan tenaga.

sunrise di pertengahan pendakian

Ketika hari sudah mula cerah, aku dapat lihat akan bendera Indonesia berkibar dengan megah di atas sana. Aku sempat bertanyakan kepada pendaki tempatan, yang adakah bendera itu menandakan puncak Mahameru. Ternyata ianya benar. Terus aku bersemangat. Tetapi track berpasir tidak mudah untuk di lepasi. Dekat di mata tapi jauh di kaki, Dengan perlahan aku melangkah sambil melayani pemandangan dan memerhati gelagat pendaki2 lain.



Bendera Indonesia di atas sana kelihatan semakin jelas. Aku semakin dekat dengan Mahameru. Tiba2 kedengaran seperti ada benda meletop, Asap hitam muncul dari atas puncak. Mahameru telah meletuskan asapnya. Sebenarnya ia adalah fenomena biasa di sini. Semeru akan meletus setiap 10-20minit. Jam 6.15pagi aku sudah sampai di puncak. Benda pertama yang aku buat adalah terus bergambar di bendera Indonesia tersebut.

Selepas itu aku tercari2 kawan aku yang pasti sudah sampai di puncak.

Selepas jumpa Arif,Hafiz dan Imran aku ronda2 atas puncak. Puncak ini luas, pendaki pun agak ramai. Puncak Mahameru sudah seperti Sogo. Aku sempat bersembang dengan sekumpulan pendaki tempatan yang bersama2 aku di Jambangan, Mereka semua peramah, dan aku tanpa ragu2 menerima tawaran untuk makan bersama dengan mereka. Bukan setakat makanan, rokok pun diorang bagi. Aku hisap la sebatang (orang kata dengan merokok ni boleh buat tambah kawan). Semasa aku bersama mereka, Semeru meletus lagi. Tidak sekuat letupan yang pertama tetapi bagi aku ianya tetap menarik. Dekat Malaysia mana nak dapat macam ni,




Aku kembali ke tempat kawan2 aku berkumpul. Abang Firhat baru tiba. Di tempat kami berkumpul, terdapat sekumpulan pendaki dari Malaysia. Orang Pahang pun ada. Sempat jugak aku pinjam mafla Pahang dengan pendaki dari Muadzam.. Selepas kawan2 aku semua tiba di puncak. kami mulakan sessi wajib. Sessi fotografi. Terus hilang kepenatan bila dapat bergambar.




Kami turun dari puncak sekitar jam 9 pagi. Lama jugak aku di puncak rupanya. Untuk turun ke basecamp tidak memerlukan tenaga yang banyak. Menuruni laluan berpasir mudah sekali. Tidak sampai 30minit aku sudah sampai di Arcopodo dan dari Arcopodo untuk sampai ke khemah pula tidak sampai sejam. Apabila tiba di khemah, makanan sudah terhidang. Ini lah bestnya bila naik gunung ada porter. Makanan tak payah nak fikir.

Ni lah track berpasir yang menyiksakan 



Selesai makan, kami mula bersiap2 untuk ke Ranu Kumbolo. Kami akan bermalam di sana.


Akan bersambung....


Ditulis dengan penuh yakin, tanpa musykil dan rendah diri oleh Ahmad Armizan Bin Mohamed.