Tuesday 4 October 2022

Torean yang memukau tapi

Hari sebelumnya boleh baca di sini 



Hari terakhir di Rinjani. Meninggalkan danau, menuju ke Kg Torean. Kebiasaannya pendaki menggunakan laluan Kg Senaru tetapi disebabkan gempa bumi pada tahun 2018, laluan tersebut kurang selamat bagi aktiviti pendakian.

Laluan torean dibuka secara rasmi pada tahun ini (2022). Sebelum ini laluan torean hanya digunakan oleh penduduk setempat untuk urusan harian dan upacara keagamaan. Ada lah jugak pendaki2 tempatan yang menggunakan laluan ini secara haram.




Permulaan laluan disajikan dengan keindahan lembah,gaung dan lereng-lereng gunung yang di selimuti awan dan kabus. Di tambah pula dengan adanya air terjun serta kolam air panas. Aku merasakan Torean seperti menerima kewujudan kami. Ketika ini aku dan Fathul masih lagi berlagak hensem, henfon sentiasa di tangan (untuk ambik gambar) dan masih mampu mengangkat kaki. 




Yang terindah hanya lah sementara, (seperti lagu erra fazira). Selepas menjamu mata dengan keindahan torean, azab mula menimpa. Rutin sama di laluan torean. Jumpa bukit,naik turun naik turun, re- group & derita, repeat!!  Dada mcm berdegup kencang manakala nafas pun tersekat-sekat, aku dah mula bosan dengan gaung. Terasa lambat pula nak jumpa hutan. Kerap juga tergelincir, aku tersalah langkah atau kasut Puma sport direct semasa sale penghabisan stok yang menjadi punca? 

Berselang beberapa ketika, boleh pulak Fathul nampak patung yang di gantung di pokok dan di atas batu (seperti dalam filem KKN di Desa Penari). Aku mengambil jalan selamat.  Buat-buat tak tahu, jangan tegur dan jangan pandang belakang. Orang Malaysia aku rasa lagi takut dgn UMNO dari takut hantu!!




Berbalik kepada pendakian, Kampung Torean masih lagi jauh. Banyak kali jugak kami berhenti rehat. Penat boh! Betul la kata-kata guide yang laluan Torean memang memukau tapi jauh. Dia punya jauh tu tak boleh bawak berbincang. Sepatutnya aku patut keluar dari Rinjani melalui kampung Sembalun. Aku menyesal dan aku pasti Fathul pun sama.

Porter sering kali menawarkan untuk menyediakan makan siang (lunch). Risau jika kami lapar. Penuh bertanggungjawab dan berdedikasi porter Rinjani. Kami tidak bernafsu dengan makanan. Sekadar membasahkan tekak, keinginan kami ketika itu cuma untuk tiba di Kg Torean. 




Seperti bermuafakat, aku dan Fathul terus mengheret kaki yang sarat dengan kesakitan, kesal dan penuh kepedihan. Merempuh bukit dan gaung yang begitu menyakitkan. Enal, guide kami menyarankan meneruskan perjalanan perlahan-lahan demi memastikan kami memasuki hutan torean sebelum petang. Pemandangan torean yang memukau aku dah tak ambik kisah.



Setelah keletihan datang berkali-kali, kami mula memasuki hutan. Seronok jumpa hutan. Ya memang betul seronok. Terasa seperti segala semua kemelut dan kekeliruan identiti berlalu pergi. Hutan di Torean tidak ubah seperti hutan di Malaysia. 

Kurang 10minit 4 petang. Tanaman sayur penduduk tempatan mula kelihatan. Menandakan sudah menghampiri kawasan perkampungan Torean. Untuk keluar dari Torean kami memilih untuk menaiki ojek. Kaki sudah tidak mampu melangkah. Rasa mcm nak beli kaki baru di IndoMart!!

tak perlu susah2 jalan kaki



Tq Matur & Enal



"Laluan torean memang memukau tapi hmm"

TAMAT

Ditulis dengan penuh yakin, tanpa musykil dan rendah diri oleh Ahmad Armizan Bin Mohamed