Sunday 6 May 2018

Menggapai Atap Sumatera (Bahagian 2)

Untuk baca bahagian 1 di sini



4.30 pagi. Pendakian ke puncak akan bermula sebentar lagi. Kopi panas bersama burger menjadi sumber tenaga pada pagi itu. Burger kami tidak ubah seperti "burger stadium" (yang pernah masuk stadium mesti tahu). Aku perhatikan Iwan dan Wan Kecik tanpa rela menelan berger tersebut.

Pak Rappani memimpin pendakian kami bersama dengan bantuan 4 orang porter. Hujan renyai-renyai bersama hembusan angin yang mencucuk tubuh mengiringi pendakian kami. Berbekalkan keazaman yang membara aku bersedia untuk menawan puncak tertinggi Sumatera walaupun mata rabak kerana tidak mendapat tidur secukupnya.  
Kami melangkah di dalam satu barisan seperti pelajar Darjah 1 beratur menuju ke kantin. Begitu berdisiplin.

Laluan ke puncak terus mencanak tanpa ada diskaun, berpasir dan  berbatu kecil.  Ditemani cahaya dari headlamp kami melangkah dengan berhati-hati. Sebenarnya aku suka dengan kemeriahan ini. Di dalam gelap tempat yang tinggi serta udara yang dingin tapi aku tidak rasa kesunyian. Aku dapat mendengar dengan jelas coleteh rakan-rakan. 
Kata-kata motivasi dan jangan mudah give up kedengaran tanpa henti. Proses mencapai sesuatu perlukan inspirasi dan motivasiApa yang aku perasaan dalam kalangan kami semua cuma aku yang menggunakan tongkat (trekking pole). Adakah aku terlalu bergaya inginkan kesempurnaan atau disebabkan faktor usia?. Hujan yang turun tidak menunjukkan isyarat akan berhenti. Setengah jam mendaki kami semua berhenti seketika. Ketika ini kami masih dalam satu kumpulan. Masih lagi berdisiplin.




Kabus yang terlalu tebal maka harapan untuk menikmati sunrise hanya tinggal harapan. Matahari seperti malu untuk keluar dari sarangnya. Melepasi sejam pendakian aku sudah berpisah dengan kelompok hadapan. Aku bersama Semut dan Fitri seperti sudah tidak mampu mengejar rakan yang di hadapan. Di belakang kami, Porter menemani Amy yang mengalami AMS. 



Menuju puncak
Wan seperti biasa ada kuasa kuda


Kami yang di kelompok belakang mendaki seperti zombie yang tiada arah. Bau sulfur yang dikeluarkan dari kawah gunung berapi Kerinci mula menusuk hidung. Mata aku juga terasa pedih. Glove murahan yang aku pakai mula dimasuki air. Jiwa dan minda aku mula rapuh. 



Sebelum datang ke Kerinci aku ada terbaca mengenai Tugu Yudha, tugu yang dibina sempena mengingati pendaki yang hilang ketika menuruni puncak. Tetapi tugu itu tidak aku temui. Menghampiri jam 7 pagi, Porter memaklumkan bahawa rakan kami di hadapan sudah tiba di puncak. Adakah aku cemburu dengan mereka yang sudah tiba di puncak? Sikit pun tidak. Aku tidak boleh mengaku kalah. Kekalahan paling besar adalah kalah pada diri sendiri... 
Bersama Semut dan Fitri


Setelah 2 jam lebih berperang dengan emosi, kami yang di kumpulan belakang akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke puncak tertinggi Sumatera. Aku bangga dalam kecewa sebenarnya. Bangga dapat menjejakkan kaki ke Gunung Berapi tertinggi Indonesia tetapi dalam masa yang sama  dek kerana badai yang melanda kami semua tidak dapat menikmati view. Pendaratan tidak sempurna!! Dalam kesejukkan kami semua bergambar kenangan. 
Abadikan saat-saat indah dilandai BADAI!! Sekurang-kurangnya ada bukti yang kami sudah berjaya menggapai atap Sumatera. Untuk menyedapkan hati lagi aku sematkan rasa berbaloi berperang dgn Air Asia untuk mendapatkan tiket penerbangan murah.
Group photo. STN

Dengan Iwan Si Insta Femes
Bukti dah sampai ke puncak



Udara yang sejuk 5 celcius serta cuaca yang tidak tenang terus menghantar kami memulakan perjalanan turun dari puncak. Menuruni ke Shelter 3 kami singgah di Tugu Yudha. Aku dapat rasakan semasa perjalanan naik aku tidak melalui laluan ini. Atau mungkin aku yang tidak perasan kerana kabus yang tebal menghadkan jarak penglihatan. Kurang 1 jam dari puncak kami semua tiba di Shelter 3.



dah nak sampai ke khemah


Sampai di khemah hidangan spaghetti tersedia. Layanan para porter membuatkan aku rasa seperti anak orang kaya slot Akasia TV3. Syukur kami tidak mati kelaparan! 


Kami mula membuat persiapan akhir untuk turun ke starting point (Pintu Rimba). Komitmen tinggi diperlukan untuk menuruni track yang licin. Azab naik lain, azab masa turun lain! Bagi aku perjalanan turun menuju ke Shelter 2 lagi parah kerana ianya curam seperti masa naik yang begitu mencanak. 

Perjalanan turun tidak mengambil banyak masa seperti hari pertama. Hari yang masih cerah membuatkan aku tidak terlalu tergesa-gesa. Tidak seperti rakan-rakan lain di hadapan yang cenderung untuk cepat sampai ke Pintu Rimba. Aku dengan bersahaja mengikuti kelompok belakang bersama Atoi,Fitri,Iwan, dan juga Amy. Dan aku yakin kumpulan kami ini lebih fun dari kumpulan hadapan. Sepanjang perjalanan turun aku perhatikan akan karenah Iwan yang selalu update IG story. Melalui pemantauan aku, Iwan tidak mahu follower dia runsing dan tertanya akan keselamatan beliau agaknya.





Menuju ke Pintu Rimba


Sekitar jam 2 petang kami di kumpulan belakang selamat tiba di Pintu Rimba dengan jayanya. Selamat tinggal Gunung Kerinci. Kerinci, kamu begitu baik melayani kunjungan kami. Semoga hubungan diplomasi antara kita berpanjangan. Puncak tertinggi Kepulauan Sumatera telah  berjaya kami tawan tetapi Kerinci, kamu ada hutang dengan kami. View!!

Geng Siput selamat sampai ke Pintu Rimba


********


Mengikut perancangan, selepas Gunung Kerinci kami akan mendaki ke  Danau Gunung 7. Tetapi tahap kercegasan kami yang diragui, maka Danau Gunung 7 selamat tidak terusik dengan karenah musibat-musibat STN.



TAMAT


Ditulis dengan penuh yakin, tanpa musykil dan rendah diri oleh Ahmad Armizan Bin Mohamed






Wednesday 25 April 2018

Menggapai Atap Sumatera (Bahagian 1)


Line up padu seramai 13 orang.  Aku bersama Atoi, Hafiz, Wan Kecik, Kurin, Lokman, Hamzah, Ros, Amy, Naim, Iwan, Semut dan Fitri dengan bantuan seorang penunjuk arah, Rappani serta 6 orang Porter, kami dalam satu ekspedisi untuk menggapai puncak tertinggi Kepulauan Sumatera, Gunung Kerinci yang juga gunung berapi aktif tertinggi di Indonesia.

9.30 pagi kami tiba di starting point, Pintu Rimba 1700meter dari aras laut. Perancangan kami untuk hari pertama adalah sehingga di Shelter 3 pada ketinggian 3300meter. Kami akan bermalam di situ sebelum menuju puncak pada awal pagi. Checkpoint kami adalah di Pos 1, Pos 2, Pos 3, Shelter 1, Shelter 2 dan Shelter 3. Bersama sedikit  keangkuhan dan muka yang sombong, di samping keterujaan yang menebal kami memulakan perjalanan. Tanpa sessi regangan fizikal kami semua laju melangkah!
starting point

Sebelum peluh jantan membasahi T-shirt rasmi yang berwarna hijau seakan-akan warna rasmi Parti Islam Malaysia (PAS), kami tiba di Pos 1 sekitar 10.00 pagi. Kami teruskan perjalanan kerana masing-masing beranggapan masih terlalu awal untuk berehat. Kami di fahamkan cabaran pendakian di Gunung Kerinci bermula dari Shelter 1. Langkah demi langkah, diselangi usikan mesra kami tiba di Pos 2. Hamzah dan Hafiz telah jauh kehadapan. Mereka berdua adalah trail runner. Tujuan mereka datang Kerinci hanya untuk training. Otot mereka masih muda ranum boleh la tunjuk power dekat sini!!

Pola pendakian sudah mula berubah. Mencanak-canak tanpa kasi chance. Laluan landai sudah mula tidak kelihatan. Aku dan Wan Kecik berada di kelompok tengah. Sengaja aku sembunyikan kekuatan aku pada rakan pendaki yang lain. Cuba untuk mengawal pace sendiri. Tidak mahu terikut dengan pace mereka yang berada di depan. Target aku untuk hari pertama adalah tiba di Shelter 3 sebelum senja tanpa sebarang kecederaan. Sekitar 10.45 pagi aku dan Wan Kecik tiba di Pos 3. Kelihatan juga rakan-rakan yang di kelompok hadapan sudah lama berhenti rehat di Pos 3. Di kelompok belakang, Atoi, Semut, Fitri dan juga Rappani (guide) masih belum tiba di Pos 3.
membawang dulu di Pos 3

Kami meneruskan pendakian, akan berkumpul di Shelter 1 untuk mencekik hidangan tengahari. Sepanjang pendakian ke Shelter 1 aku berjumpa ramai dengan pendaki tempatan. Sempat juga aku bersembang dan cuba berlakon beramah mesra seperti menteri yang meraih undi pilihanraya dengan mereka, bertanyakan lebih lanjut mengenai track pendakian Gunung Kerinci. Rata-rata mereka memberitahu kesukaran pendakian bermula dari Shelter 1.
menuju Shelter 1

Shelter 1


Kami berhenti rehat di Shelter 1 agak lama. Lunch dan ada yang solat di sini. Ketika berehat di sini ada pendaki dari Malaysia yang dalam perjalanan turun. Mereka sempat berkongsi maklumat yang mana perjalanan dari Shelter 1 ke Shelter 2 agak lama, kira-kira 4 jam .Track yang panjang, pacak dan terpaksa berpaut pada akar pokok. (saat ketika mereka kata  ke Shelter 2 mengambil masa 4 jam aku buat muka cool)


Hujan mula turun semasa kami memulakan pendakian ke Shelter 2. Ianya sedikit sebanyak menganggu rentak pendakian. Akar yang besar serta track pacak yang meletihkan otot kaki namun kami pendaki yang bertanggungjawab dan penuh dgn iltizam meneruskan pendakian. Menuju ke Shelter 2 yang berada pada ketinggian 3100meter dari aras laut tentunya menyiksakan fizikal dan juga mental.
ke Shelter 2

Ke Shelter 2

Setelah hampir bertarung nyawa selama 3 jam aku sampai di Shelter 2. Ketika itu Ros,Amy dan juga Kurin sudah tiba. Kelihatan juga seorang Porter juga di Shelter 2. Cuaca ketika itu mendung kerana baru selepas hujan. Aku mengambil kesempatan untuk menyapu minyak panas pada pangkal paha yang sudah mula memberi isyarat kecemasan. Kami difahamkan terdapat pendaki tempatan yang akan bermalam di sini. Mereka akan mulakan summit attack pada keesokan harinya dari Shelter 2. Masak la korang summit attack dari sini!
Shelter 2 pada ketinggian 3100meter

Porter memberi isyarat untuk terus ke Shelter 3. Track dari Shelter 2 ke Shelter 3 boleh dikategorikan sebagai track yang paling susah untuk hari pertama. Kami perlu memanjat, berpaut pada akar-akar kayu, track yang licin, terpaksa membongkokkan badan melalui lorong tikus. Porter memaklumkan kepada kami yang mana satu jam diperlukan untuk tiba ke Shelter 3. Aku sudah tidak sabar untuk sampai ke Shelter 3, ingin berbaring dalam khemah sambil menikmati secawan kopi panas.
menuju Shelter 3

Menuju ke Shelter 3





Menjelang jam 5 petang kami tiba di Shelter 3. Cuaca redup, angin bertiup kencang bersama udara yang sejuk 12 celcius menyambut kehadiran kami. Kesejukkan sehingga menggigil satu badan.Aku mula rasa sakit dada seakan sukar bernafas, mungkin kerana berada di altitud yang tinggi. Angin yang bertiup kencang  membuatkan porter menghadapi masalah untuk mendirikan khemah.

Aku berkongsi khemah bersama Wan Kecik dan Iwan. Dalam khemah, Iwan  dengan bersahaja menyanyikan lagu hip hop, Wan Kecik pula mengeluarkan semua bekalan makanan yang dia pikul dari bawah. Porter pula menghidangkan kopi panas. Aku rasa seperti lepak di cafe hipster. Kesenangan bukan dicari tapi diciptakan!

Sesudah menukar pakaian yang bersih, aku keluar dari khemah untuk menikmati pemandangan dari ketinggian 3300meter tapi ianya cuma harapan palsu seperti palsunya Neelofa menjual ubat menambah ketinggian di instagram. Dek kerana selepas hujan tidak ada yang boleh dilihat, cuma kabus yang mengelilingi Shelter 3.

Bermalam di dalam khemah pada ketinggian 3300meter dengan cuaca yang tidak memihak kepada kami, amat sukar untuk aku melelapkan mata. Sekadar merehatkan badan sebelum memulakan pendakian agung ke puncak pada pukul 5 pagi nanti.
Porter sedang mendirikan khemah utk pendaki2 manja

Akan bersambung...

Ditulis dengan penuh yakin, tanpa musykil dan rendah diri oleh Ahmad Armizan Bin Mohamed