Wednesday 21 September 2022

Ojek , A.M.S & Pancake Pisang

 




8.30 pagi kami tiba di starting point laluan Sembalun. Enal (kiri) selaku guide yang akan mengetuai ekspedisi selama 3 hari 2 malam. Aku dan Fathul (kanan) pula  mengekori dari belakang. Perancangan Enal, untuk hari pertama kami akan mendaki sekitar 7-8 jam untuk tiba di Campsite (Plawangan Sembalun crater rim). 


Di awal pendakian kami di sambut dengan lembu-lembu peliharaan penduduk kampung. Ada lembu maka banyak lah najis-najis lembu di sepanjang laluan. Berhati-hati melangkah supaya tidak terpijak 'periuk api'30minit pendakian aku dengan Fathul mula tercungap-cungap. Pancit.  Cuaca panas mat! Tanpa berfikir panjang Fathul terus mengarahkan untuk menahan ojek. Menaiki ojek cuma mengambil masa kurang 30minit untuk tiba di Pos 2 (kalau menapak sekitar 2-3jam). 

Pengkalan Ojek



9.30 pagi kami tiba di pos 2. Memang menjimatkan masa dan tenaga menaiki ojek. Kami sempat "membazirkan masa" di Pengkalan Ojek serta memerhatikan keindahan Padang Savana. Merentasi Padang Savana dengan matahari tegak di atas kepala, di sarankan untuk memakai topi "mortal kombat". Laluan menuju ke Pos 3 hanya mendatar. Logik akal sepatutnya tidak memerlukan banyak tenaga tetapi hmmmm... Sebetulnya aku hanya perlu berada di rumah, menonton drama korea di saluran disney hotstar.

                                                                                

Padang Savana

Menghampiri 11 pagi kami tiba di pos 3. Aku perhatikan Fathul  terhuyung hayang seperti zombie. Tanpa membuang masa Fathul terus mencari port untuk power nap dan aku pula mengikut saranan Enal untuk lunch di sini. Selesai apa yang patut kami terus ke Pos 4. Sepanjang perjalanan Fathul sudah mula muntah-muntah seperti perempuan yang baru hamil. Enal mula risau akan kesihatan Fathul tapi aku cuma tersenyum sinis. Padan muka dia! dia yang beria menghasut aku ke sini. 

power nap lah sangat

Jam di tangan menunjukkan pukul 12:40 tengahari, aku tiba di Pos 4. Enal dan Fathul masih di belakang. Ramai pendaki tempatan yang berehat di sini. Jika di Padang Savana begitu panas, berlainan pula di Pos 4. Aku sudah mula kesejukan. Fathul tiba agak lewat dan kelihatan pucat. Enal memberitahu yang Fathul muntah lagi di dalam perjalanan. Dramatik!  


Selepas ini kami  akan melalui Bukit Penyesalan (terdapat 7 bukit). 3-4 jam pendakian untuk melepasi bukit ini sebelum tiba di Plawangan Crater Rim (campsite). Aku masih ingat lagi sukarnya bukit ini sekitar 6 tahun lepas. Ketika itu aku bersama Chem (komrad haluan kiri) mendaki Rinjani.




Pola pendakian di Bukit Penyesalan betul-betul tiada diskaun. Pacak, pacak dan terus pacak. Memang tidak cukup nafas dibuatnya. Ditambah lagi dengan bebanan beg yang kami pikul. Lemah dan penat. Fathul sempat lagi melelapkan mata di atas trek dan mula pening kepala. Beberapa kali kami berhenti dan memberi ruang untuk Fathul berehat. Enal mula mengesyaki yang Fathul sudah mengalami AMS (Altitude Mountain Sickness). Perkara yang ditakuti oleh pendaki. 

Di sebalik kabus , ada bukit lagi




dari camera Fathul



Bukit demi bukit diharungi, pelbagai karenah pendaki yang kami dapat lihat. Ada pendaki yang sudah hilang pedoman sehinggakan terpaksa porter yang memikul beg mereka. Memang menguji ketahanan mental untuk melepasi Bukit Penyesalan. Aku pasti kemarahan serta penyesalan sudah mula menguasai diri mereka. Perspektif berbeza bagi pendaki apabila melalui Bukit Penyesalan. Buat lagi terkesan melihat para porter yang cuma memakai selipar jepun memotong kami di sepanjang pendakian. Tabik hormat untuk porter Rinjani!!


3.30 petang, tinggal lagi satu bukit untuk kami harungi. Fathul muntah lagi, selongkar bag dan terus mencari panadol. Porter yang telah lama tiba di campsite akan menghidangkan pancake pisang untuk minum petang. Terus aku teringat akan keenakkan pancake pisang 6tahun lepas. Layan juga menikmati pancake di sebalik awan karpet Plawangan Crater Rim. Terbayang pancake pisang aku memaksa Fathul terus melangkah. 

campsite

Berperang fizikal & mental hampir 8jam, kami selamat tiba di Plawangan Crater Rim, lokasi perkhemahan malam pertama. Pancake pisang sudah siap terhidang. Lantas aku makan tanpa pedulikan Fathul yang seperti menyesal menjejakkan kaki ke Rinjani.

Akan bersambung...

Ditulis dengan penuh yakin, tanpa musykil dan rendah diri oleh Ahmad Armizan Bin Mohamed




No comments:

Post a Comment